Sesi Hands-on Training Sistem ePermit MDA – Siri 1
CYBERJAYA, 16 JUN 2025 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) melalui Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri (BHAI) telah berjaya menganjurkan Sesi Hands-on Training Sistem ePermit MDA – Siri 1 yang berlangsung di MDA, Cyberjaya. Program ini dianjurkan khusus bagi memberi pendedahan secara praktikal kepada pemain industri, khususnya pengimport, berhubung penggunaan Sistem ePermit MDA bagi tujuan permohonan permit import dan pengeluaran slip pengesahan (verification slip).
Sesi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 53 peserta yang terdiri daripada pengimport, pengilang (manufacturer) dan forwarding agent. Kehadiran ini mencerminkan tahap komitmen yang tinggi daripada pihak berkepentingan dalam memahami serta mematuhi keperluan pengawalseliaan peranti perubatan di Malaysia.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah diberikan taklimat menyeluruh mengenai fungsi dan struktur sistem ePermit. Sesi diteruskan dengan panduan pengisian borang permohonan secara dalam talian, sebelum peserta menjalani latihan amali dan simulasi penggunaan sistem secara langsung. Pendekatan interaktif ini membolehkan peserta untuk memahami secara lebih mendalam serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pegawai teknikal MDA.
Pihak MDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta atas penyertaan dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat memperkukuh kefahaman pengguna terhadap sistem ePermit dan melancarkan proses pengimportan peranti perubatan ke Malaysia.
Disediakan oleh : Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri (BHAI)
Dimuatnaik oleh : Bahagian Komunikasi Korporat
Tarikh muatnaik : 19 Jun 2025