TAWAU, 25 & 26 Julai 2024 - Program Promosi Kesedaran Kepada Pengguna Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) telah diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tawau, Sabah.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pengguna mengenai kawalan, pengurusan penyelenggaraan, penggunaan, serta pelupusan peranti perubatan di hospital kerajaan dan pusat perubatan swasta di Malaysia di bawah Akta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan 2012 iaitu Akta 737 dan Akta 738.

YBrs. Dr. Norlimah binti Arsad, Pengarah Hospital Tawau, Sabah turut hadir dan menyampaikan kata alu-aluan beliau dalam program tersebut.


Wakil daripada Pihak MDA yang dijemput menyampaikan ceramah adalah dari Bahagian Kawalan Pra Pasaran (BKPP), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (DASAR) dan Bahagian Pascapasaran dan Penguatkuasaan (BPP).

Selain itu, program ini turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, hospital-hospital, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Pergigian Daerah, dan Makmal Kesihatan Awam di Sabah.


Selain memberikan pendedahan, program ini juga bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap akta-akta peranti perubatan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kawalan peranti perubatan di Malaysia.

Satu siri lawatan Pihak MDA ke farmasi-farmasi di sekitar Tawau telah diadakan untuk mengedarkan brosur dan poster peranti perubatan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pihak penjual dan orang awam tentang kepentingan untuk menjual dan membeli peranti perubatan yang berdaftar dengan MDA.

Pada keesokan harinya, Pihak MDA telah membuka Pameran Kesedaran Awam mengenai peranti perubatan yang diadakan di UTC Tawau, Sabah.


Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat terkini tentang peraturan dan piawaian peranti perubatan, serta kepentingan penggunaan peranti yang diluluskan untuk menjaga kesihatan diri mereka.