KENYATAAN MEDIA PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN

PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN (MDA)

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

OPERASI SERBUAN KE ATAS SEBUAH PREMIS YANG MENGEDAR KANTA LEKAP (CONTACT LENS) TANPA LESEN

 

KUALA LUMPUR, 20 MEI 2024 – Sebuah premis yang terletak di Kenanga Wholesale City telah diserbu oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia pada 20 Mei 2024. Operasi serbuan ini dijalankan susulan daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh Penguatkuasa MDA keatas premis tersebut yang telah menemukan bukti berlaku pengedaran kanta lekap yang tidak berdaftar oleh syarikat yang tidak mempunyai lesen yang sah.

Operasi tersebut dianggotai oleh 19 orang pegawai penguatkuasa MDA yang telah menyita sejumlah 101,186 unit kanta lekap tanpa label, 42,098 unit kanta lekap pelbagai jenama dan 276 keping pelekat (sticker) label berjenama serta bersama 25 dokumen yang berkaitan bagi tujuan siasatan. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 700,000.

Syarikat terbabit telah disyaki melanggar Akta Peranti Perubatan (Akta 737), Seksyen 25 kerana masih meletakkan peranti perubatan dalam pasaran walaupun lesen syarikat berkenaan telah dibatalkan atas kesalahan yang sama pada bulan Mac 2024. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda maksimum boleh dikenakan sebanyak dua ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak MDA ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan sebarang bentuk perniagaan peranti perubatan yang tidak berdaftar atau tanpa berlesen kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna serta orang awam.

Pengguna kanta lekap juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika membeli kanta lekap dan juga tidak menyokong aktiviti penjualan kanta lekap tidak berdaftar dengan MDA kerana kanta lekap yang tidak berdaftar tidak disahkan dari segi keselamatan dan prestasi dan boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan mata pengguna. Pengguna dan orang awam sentiasa disarankan untuk membuat semakan sebelum membeli kanta lekap melalui Sistem MDAR di portal rasmi MDA.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat atau aduan berhubung dengan aktiviti penjualan kanta lekap atau sebarang peranti perubatan yang tidak berdaftar atau tidak memiliki lesen yang disahkan oleh MDA, anda boleh melaporkan kepada Pihak MDA bersama butiran yang lengkap dan tepat melalui saluran sistem aduan dan maklum balas MDA iaitu https://femes.mda.gov.my/.

 

DR. MURALITHARAN PARAMASUA

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

Medical Device Authority Malaysia (MDA)

24 Mei 2024