13 & 14 Mac 2024 - Satu bengkel telah dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) iaitu Bengkel Kajian Pembangunan Dokumen Panduan Pemprosesan Semula Peranti Perubatan (Reprocessing of Medical Device) yang telah dijalankan selama 2 hari bertempat di Bilik Seminar 2, Aras G, MDA, Cyberjaya. Bengkel ini dipengerusikan oleh Pn. Salbiah Bt Yaakop selaku Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (DASAR), pegawai-pegawai daripada Cawangan Pengurusan Dasar dan Kajian Teknikal seramai 7 orang dan disertai oleh 64 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pakar perubatan kesihatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, penyelia jururawat, jurutera serta wakil-wakil industri peranti perubatan.

Objektif utama bengkel ini adalah bagi mendapatkan input serta pandangan pihak berkepentingan dalam pembangunan dasar dan keperluan regulatori peranti perubatan yang diproses semula di seluruh fasiliti kesihatan di Malaysia. Selain itu, kajian soal selidik berkaitan praktis yang diamalkan di fasiliti kesihatan masing-masing turut dijalankan. Bukan itu sahaja, bengkel ini turut menjadi platform untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan amalan pemprosesan semula peranti perubatan kegunaan tunggal (reprocessing of single use medical device) yang dijalankan di fasiliti kesihatan masing-masing. 

Susulan daripada bengkel ini, MDA akan membangunkan dasar dan dokumen panduan yang bersesuaian bagi menjaga keselamatan dan prestasi penggunaan peranti perubatan yang telah diproses semula ke atas pesakit. Hasil kajian dan soal selidik akan dibincangkan bersama pihak berkepentingan untuk merangka dasar yang bersesuaian bagi peranti perubatan kegunaan tunggal yang diproses semula.

Akhir sekali, MDA merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua peserta bengkel yang menghadiri bengkel ini.