Cyberjaya, 27 Februari 2024 - Turkiye Medical Industry Cluster Association (OSTİM), yang mewakili 120 syarikat dan 37 rakan kongsi dari Turki, telah membuat lawatan kerja ke ibu pejabat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Cyberjaya hari ini.

 

Pengarah Bahagian Kawalan Pra Pasaran MDA, Puan Aidahwaty M.Olaybal, menyambut delegasi, yang dipimpin oleh Puan Münevver Koçak, Penasihat Komersial, Kedutaan Republik Turki di Kuala Lumpur.

 

Delegasi dari Turkiye Medical Industry Cluster Association (OSTİM) terdiri daripada Tuan Fatin Dağcinar, Pengerusi OSTİM, Kluster Koordinator OSTİM, Nilsu Erkanli, Projek Koordinator OSTİM, Nur Üstündağ, Enver Ali Kuleoğlu, Ahli Lembaga OSTİM serta 10 orang ahli OSTİM yang mewakili industri-industri peranti perubatan dari Turki.

Turut hadir adalah, Tuan Amin Fahmi, Pengerusi Malaysian International Islamic Chamber of Commerce and Industry (MIICCI).

 

Pada sesi lawatan ini, delegasi telah diberikan taklimat ringkas berkaitan MDA untuk mendapatkan gambaran tentang sistem regulatori peranti perubatan di Malaysia.

Delegasi MDA dan OSTİM telah berbincang dan bertukar pendapat untuk menerokai peluang bagi menjalankan kerjasama dalam penyelidikan, inovasi, dan pembangunan projek yang boleh memberi manfaat kepada perkembangan industri peranti perubatan di kedua-dua negara.

MDA menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua wakil atas komitmen mereka untuk memajukan kemudahan antarabangsa dalam bidang peranti perubatan.