image_02.jpeg

 

KENYATAAN MEDIA

SARANAN PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN (MDA) TERHADAP ORANG AWAM DAN PENIAGA-PENIAGA KIT UJIAN KENDIRI COVID-19 (FARMASI) BERHUBUNG DENGAN PENULARAN SEMASA WABAK COVID-19

 

CYBERJAYA, 20 DISEMBER 2023 – Berikutan daripada kenyataan media daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada 18 Disember 2023, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menasihati orang awam untuk terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai kawalan kendiri. Ini adalah rentetan penularan jangkitan Wabak COVID-19 dalam komuniti yang semakin meningkat.

Mana-mana farmasi dan premis yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 harus memberikan penekanan dalam menyampaikan maklumat berkaitan penggunaan kit ujian kendiri yang berdaftar dan mengikut arahan penggunaan, Instructions for Use (IFU).

Dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19, kerjasama daripada pengeluar, pengimport dan wakil yang diberi kuasa adalah disaran untuk memastikan stok kit ujian kendiri COVID-19, pelitup muka, oximeter, sarung tangan dan Personal Protective Equipment (PPE) adalah mencukupi untuk kegunaan orang awam ketika wabak COVID-19 yang sedang menular. MDA memberikan amaran kepada pengeluar, pengimport dan wakil yang diberi kuasa untuk tidak mengambil kesempatan untuk menyimpan atau menyembunyikan stok peranti perubatan berkaitan bagi memanipulasikan pasaran untuk meningkatkan harga peranti perubatan memandangkan permintaan terhadap peranti tersebut sedang meningkat.

MDA turut memberi peringatan kepada pengeluar, pengimport dan wakil yang diberi kuasa, farmasi-farmasi dan mana-mana premis yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 untuk tidak mengambil kesempatan dengan menjual kit ujian yang telah tamat tarikh luput serta tidak berdaftar dengan MDA.

Kegagalan farmasi-farmasi dan premis-premis untuk mematuhi Akta 737 akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

MDA akan terus mengetatkan operasi penguatkuasaan dan pemantauan melalui maklumat yang diperoleh daripada sumber-sumber yang sahih bagi membantu dan memastikan pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan.

Orang awam boleh membuat semakan pendaftaran peranti-peranti perubatan seperti kit ujian kendiri COVID-19, pelitup muka, oximeter, sarung tangan dan Personal Protective Equipment (PPE) yang dibeli adalah berdaftar dengan MDA melalui sistem carian di portal MDA, mda.gov.my atau layari terus ke sesawang MDAR (Medical Device Authority Register (MDAR) di mdar.mda.gov.my.

Untuk sebarang aduan dan pertanyaan berkaitan, orang ramai boleh menggunakan sistem maklum balas MDA di femes.mda.gov.my.

Sekian, terima kasih.

 

DR. MURALITHARAN PARAMASUA

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

20 Disember 2023