Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sedar terdapat kegusaran di kalangan pembeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 terhadap aktiviti pengumpulan dan penyimpanan maklumat peribadi di premis-premis jualan yang dibenarkan oleh MDA dan KPDNHEP.

MDA ingin menjelaskan bahawa keperluan merekodkan maklumat peribadi ini dikenakan ke atas establismen atau pembekal yang membekalkan kit ujian ini melalui farmasi komuniti, fasiliti kesihatan atau premis-premis yang berdaftar dengan KPDNHEP bagi memudahkan pengesanan kontak dan pemantauan berterusan ke atas rantaian pembekalan dan pengedaran Kit Ujian Kendiri COVID-19 di pasaran. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada keperluan Rekod Pengedaran (Distribution Record) seperti dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Kewajipan dan Obligasi Establismen) 2019 yang perlu dipatuhi oleh establismen yang berlesen dengan MDA.

Adalah menjadi tanggungjawab establismen untuk memantau keselamatan dan kualiti kit ujian kendiri yang diedarkan di pasaran sehingga ke peringkat pengguna. Melalui maklumat peribadi ini, establismen dapat mengambil tindakan pembetulan sekira berlakunya sebarang masalah berkaitan penggunaan kit-kit ujian yang dibekalkan, terutamanya jika memberikan kesan kepada kawalan penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Berikutan itu, MDA menyarankan establismen dan premis-premis yang dibenarkan menjual Kit Ujian Kendiri COVID-19 untuk mengikuti panduan seperti berikut:

  • Pengumpulan data peribadi pembeli oleh mana-mana premis perniagaan perlulah dibuat berdasarkan kepada keperluan yang minimum iaitu hanya nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi sahaja yang direkodkan. Maklumat bagi perkara ini turut dinyatakan di dalam Garis Panduan COVID-19 RTK (SELF - TEST) – REQUIREMENTS (MDA/GD/0059);
  • Kaedah bagi pengumpulan maklumat peribadi ini adalah tertakluk kepada establismen/premis perniagaan sama ada ianya direkodkan secara manual atau digital.
  • Satu notis yang jelas boleh dipaparkan sebagai makluman kepada pembeli berhubung tujuan pengumpulan maklumat peribadi mereka. Notis tersebut perlu ditempatkan pada ruangan yang jelas dilihat oleh pengunjung/ pelanggan premis perniagaan.
  • Premis perniagaan perlu bertanggungjawab ke atas maklumat peribadi pembeli yang direkodkan dan hendaklah memastikan bahawa keselamatan data peribadi yang telah dikumpul adalah sentiasa terpelihara dan terjaga pada setiap masa.

MDA ingin menggesa orang ramai supaya tidak perlu gusar berkenaan aktiviti pengumpulan maklumat peribadi bagi pembelian kit ujian kendiri COVID-19 di premis-premis jualan. Sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh mengemukakan maklumat kepada MDA melalui https://femes.mda.gov.my/.

 

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

11 Mac 2022