Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ingin memanjangkan makluman daripada Majlis Optik Malaysia (MOC) yang melarang penjualan alat optik dan kanta lekap dijalankan di mana-mana platform e-marketing, selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan dan dimuat naik di laman sesawang rasmi MOC di pautan berikut:

https://moc.moh.gov.my/wp-content/uploads/2021/08/GUIDELINES-FOR-ONLINE-SALE-OF-OPTICAL-APPLIANCES-AND-CONTACT-LENSES.pdf

Garis panduan tersebut menyatakan, hanya Pengamal Optometri Berdaftar samada yang bekerja secara sendiri atau di bawah syarikat optikal, boleh menjalankan penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian. Namun demikian, aktiviti ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang tertakluk di dalam Garis Panduan tersebut.

MDA juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa alat optik dan kanta lekap yang memenuhi tafsiran yang ditetapkan di dalam Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), bagi kanta lekap dengan pembetulan dan Perintah Peranti Perubatan (Pengisytiharan 2017) bagi kanta lekap tanpa pembetulan, adalah dikategorikan sebagai peranti perubatan yang dikawal di bawah Akta 737. Akta ini telah menggariskan keperluan pendaftaran kepada mana-mana peranti perubatan yang hendak diimport dan diletakkan di dalam pasaran selaras dengan peruntukan Seksyen 5(1) Akta 737. Hanya alat optik dan kanta lekap yang memenuhi keperluan-keperluan yang digariskan di dalam Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan 2012 akan didaftarkan dan dibenarkan untuk dipasarkan kepada pengguna dan orang awam.

Seksyen 15(1) Akta 737 pula menyatakan mana-mana orang atau syarikat yang hendak mengimport, meletakkan dalam pasaran serta mengedar peranti perubatan hendaklah berlesen dengan PBPP sebelum menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut. Pelanggaran kepada kedua-dua seksyen ini boleh menyebabkan seseorang dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit (RM200,000) atau penjara bagi tempoh tidak melebih dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 5(2) dan 15(2) Akta 737.

MDA sentiasa memantau alat optik dan kanta lekap yang berada di dalam pasaran tempatan dari semasa ke semasa. PBPP juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemberhentian pengedaran serta penarikan balik peralatan optik dan kanta lekap yang berada dalam pasaran sekiranya terdapat isu berkaitan prestasi dan keselamatan peranti tersebut.

Pengguna dan orang awam disarankan merujuk kepada arahan atau manual penggunaan (instruction/manual for use) yang dikeluarkan oleh pengilang bagi memastikan penggunaan alat optik dan kanta lekap yang betul. Maklumat lanjut berkenaan kawalan peranti perubatan dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan boleh didapati di portal PBPP, https://portal.mda.gov.my/. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan kepada PBPP melalui Sistem Pengurusan Maklumbalas PBPP (FEMES) di https://femes.mda.gov.my/ atau emel, [email protected].

Tarikh dimuatnaik: 7 Januari 2022