Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) mengambil perhatian berkenaan satu artikel bertajuk "Spray those viral infections away (Covid-19 included)" yang disiarkan dalam dalam ruangan Lifestyle akhbar The Star Online bertarikh 31 Oktober 2021 (Ahad) yang mengandungi maklumat yang tidak tepat mengenai suatu peranti perubatan berdaftar, iaitu Pirdal Nasal Spray.

MDA mendapati ada dakwaan yang mengelirukan (misleading claim) di dalam artikel tersebut yang menyatakan bahawa Pirdal Nasal Spray boleh mencegah dan merawat jangkitan virus, termasuk COVID-19. Sehubungan itu, pihak MDA ingin memaklumkan bahawa dalam pendaftaran Pirdal Nasal Spray di Malaysia, ia hanya diluluskan untuk tujuan mencuci dan menyah bahan tercemar di dalam rongga hidung, dan bukan untuk tujuan pencegahan atau rawatan virus COVID-19. Kenyataan di dalam artikel tersebut boleh menyebabkan kekeliruan awam dan dikhuatiri akan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan yang tidak sah. MDA telah memberi arahan kepada syarikat yang diberi pendaftaran peranti perubatan tersebut untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbetulkan kenyataan dalam artikel tersebut dan memaklumkan mengenai tindakan yang diambil kepada MDA.

MDA mengingatkan sebarang bentuk tuntutan perubatan berkaitan sesuatu peranti perubatan yang disiarkan hendaklah mematuhi keperluan yang digariskan di dalam Seksyen 44 Akta Peranti Perubatan 2012 dan Peraturan (Iklan) Peranti Perubatan 2019. Mana-mana orang yang membuat dakwaan yang mengelirukan atau palsu berkenaan sesuatu peranti perubatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tahun tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan berkaitan pencegahan dan rawatan COVID-19 dan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan jangkitan sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Mana-mana pihak yang ingin mengetahui status pendaftaran sesuatu peranti perubatan, boleh membuat semakan melalui sistem carian awam MDA di https://mdar.mda.gov.my/. Maklumat lanjut berkenaan MDA dan kawalan peranti perubatan boleh didapati di portal MDA, portal.mda.gov.my. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan kepada Sistem Pengurusan Maklumbalas MDA (FEMES) di femes.mda.gov.my.

Ketua Eksekutif
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
2 November 2021