mda admin logo

PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

KENYATAAN MEDIA:

PENGIKLANAN DAN PENJUALAN PERANTI PERUBATAN YANG DIDAKWA SEBAGAI KIT UJIAN KENDIRI COVID-19 (COVID-19 SELF TEST KIT)

 

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menerima pelbagai aduan dan mendapati ada pihak-pihak yang menjalankan aktiviti pengiklanan dan penjualan kit ujian yang didakwa sebagai kit ujian kendiri COVID-19 dalam media sosial dan laman sesawang. MDA ingin memaklumkan bahawa setakat ini pihak kami hanya memberi kebenaran akses khas (special access) bagi kit ujian COVID-19 untuk kegunaan profesional (professional use) sahaja dan pihak kami masih belum memberi apa-apa kebenaran untuk pengedaran kit ujian kendiri COVID-19.

Sehubungan itu, MDA ingin menegaskan penjualan kit ujian kendiri ini dan paparan iklan yang terdapat di media sosial dan laman sesawang adalah mengelirukan dan boleh menggalakkan pembelian di kalangan orang awam yang boleh meningkatkan risiko penularan dan penyebaran virus COVID-19 dalam masyarakat. Pihak-pihak yang terlibat dalam pengiklanan dan penjualan seperti ini digesa untuk menghentikan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

Perbuatan mengiklankan peranti perubatan seperti ini melanggar Seksyen 44 (1) Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) yang boleh menyebabkan seseorang yang disabitkan kesalahan, dikenakan denda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit (RM300,000) atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 5(2) dan 15(2) Akta yang sama. Selain itu, mana-mana orang yang menjual kit ujian ini tanpa lesen boleh juga boleh didakwa atas kesalahan dan pelanggaran kepada Seksyen 5(1) dan Seksyen 15(1) Akta 737 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit (RM200,000) atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 5(2) dan 15(2) Akta yang sama.

MDA sentiasa memantau aktiviti peletakan dalam pasaran termasuk pengiklanan, pengedaran dan penjualan melalui platfom e-dagang seperti Lazada, Shopee, media sosial dan saluran-saluran lain bagi memastikan mana-mana peranti perubatan, termasuk kit ujian COVID-19 di pasaran adalah yang selamat dan berkesan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan seumpama ini dan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan sebagaimana yang disarankan oleh KKM. MDA bersama-sama Jawatankuasa Pakar Penilaian Kit Ujian COVID-19 perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam membuat penilaian ke atas mana-mana kit ujian kendiri COVID-19 sebelum kebenaran untuk mengimport dan mengedarkan kit ujian tersebut diberikan kerana ia melibatkan penggunaan oleh orang awam.

MDA juga ingin memaklumkan bahawa sebarang aduan berkaitan kit ujian COVID-19 atau mana-mana peranti perubatan lain boleh dikemukakan kepada MDA melalui sistem pengurusan maklumbalas MDA, FEMES https://femes.mda.gov.my/ atau emel, [email protected] 

 

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

3 Jun 2021