IMAGE_MDA_MEDICAL.jpeg

KENYATAAN MEDIA PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN

PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN (MDA)

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

OPERASI SERBUAN PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN KE ATAS PENJUALAN PERANTI PERUBATAN TIDAK BERDAFTAR PELITUP MUKA PERUBATAN BERJENAMA MEDICGOLD

Pada 21 Februari 2024, Bahagian Pasca-pasaran dan Penguatkuasaan (BPP), MDA telah menjalankan satu operasi serbuan terhadap sebuah syarikat di sekitar Kuala Lumpur yang disyaki telah melanggar Akta 737, Seksyen 5(1) iaitu meletakkan peranti perubatan pelitup muka perubatan berjenama MedicGold yang tidak berdaftar dengan MDA dalam pasaran. Dua pasukan serbuan yang dianggotai oleh 18 orang penguat kuasa MDA, diketuai oleh Mohd Hasbullah bin Zulkefly dan Syakira Hana binti Ahmad Khairi serta dibantu oleh lapan anggota Polis Diraja Malaysia telah terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi serbuan ini berjaya merampas sebanyak 3,585 pek pelitup muka perubatan jenama MedicGold, 700 unit pulse oximeter pelbagai jenama yang tidak berdaftar dengan MDA. Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM25,000.00. 

Syarikat ini akan didakwa di bawah Akta 737, Seksyen 5(1) sekiranya disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Kesemua barang rampasan akan dijadikan bahan bukti bagi pendakwaan terhadap pelanggaran peruntukan Akta 737 yang dinyatakan di atas.

 

 

DR. MURALITHARAN PARAMASUA

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

23 Februari 2024