![]()
KENYATAAN MEDIA
KUALITI KIT UJIAN COVID-19 DI PASARAN
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ingin memberi maklumbalas mengenai kebimbangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) terhadap kualiti kit ujian COVID-19 dalam pasaran yang disiarkan melalui artikel “Persatuan perubatan bimbang terhadap kualiti alat ujian Antigen RTK di pasaran” dalam akhbar Malaysiakini dan “MMA calls for immediate audit on Covid-19 test kits of questionable quality in the market” yang disiarkan dalam akhbar the Star pada 18 Mei 2021.
Kit ujian COVID-19 merupakan suatu peranti perubatan yang dikawal oleh MDA di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Perintah (Pengecualian) Peranti Perubatan 2016 yang dikeluarkan di bawah Akta 737 membenarkan pengimportan dan pengedaran kit ujian ini sebagai peranti perubatan akses khas untuk kegunaan kecemasan semasa penularan wabak. Ia dilaksanakan sebagai respon terhadap keperluan kesihatan awam yang mendesak bagi tujuan pengesanan jangkitan COVID-19. Perintah Peranti Perubatan (Pengecualian) 2016 menetapkan bahawa pengimport atau pengilang peranti perubatan akses khas dikehendaki memberi notifikasi secara bertulis yang diperincikan dalam dokumen MDA/GD/0043: Medical Device Guidance Document: Special Access Notification - General Requirement https://www.mda.gov.my/industry/exemption/special-access-medical-device.html
Berdasarkan dokumen panduan di atas, mana-mana notifikasi untuk pengimportan dan pengedaran kit ujian COVID-19 perlu melalui proses penilaian berikut sebelum diberi surat “tiada halangan” untuk pengimportan dan pengedarannya;
| Jenis kit ujian | Sensitiviti, % |
Spesifisiti, % |
| Reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) | 100 | 100 |
| Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) | 90 | 100 |
| Antibody Rapid Test Kit (RTK-Ab) | 90 | 90 |
Nota: Kit ujian yang telah disenaraikan lulus penilaian oleh badan penilaian bebas antarabangsa, FIND https://www.finddx.org/covid-19/sarscov2-eval/ boleh dikecualikan dari ujian pengesahan prestasi di makmal yang dinyatakan di atas.
Untuk memastikan keselamatan dan prestasi kit ujian yang berada dalam pasaran, establismen dikehendaki melaksanakan sistem pemantauan dan pengawasan pasca-pasaran. Jika terdapat aduan mengenai masalah, establismen dikehendaki mengendali dan membuat siasatan ke atas aduan tersebut serta mengambil tindakan pembetulan, di mana dalam kes-kes tertentu establismen perlu membuat panggilan balik (recall) ke atas kit ujian yang bermasalah dan dikehendaki melaporkannya kepada MDA.
Setakat ini MDA telah membangun dan melaksanakan mekanisma kawalan berdasarkan kerangka dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta 737. Ia merangkumi penilaian awal berkaitan keselamatan dan prestasi kit ujian COVID-19 sebelum ia diimport dan diedarkan, meletakkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh establismen yang mengimport dan mengedarkan kit ujian ini, dan mengkehendaki mereka melaksanakan aktiviti pemantauan dan pengawasan pasca-pasaran setelah sesuatu kit ujian berada dalam pasaran.
Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang dalam yang boleh dipertingkatkan untuk pelaksanaan yang lebih baik dan berkesan. MDA sentiasa terbuka dan mengalu-alukan cadangan dari mana-mana pihak dan menerima baik saranan yang diutarakan oleh MMA. MDA sedang dalam proses untuk meningkatkan mekanisma pemantauan prestasi dan keselamatan kit ujian dalam pasaran, seperti meningkatkan kesedaran di kalangan pelbagai pihak mengenai peranan mereka untuk memastikan keselamatan dan prestasi kit ujian COVID-19 dalam pasaran.
MDA juga ingin memaklumkan bahawa sebarang aduan berkaitan kit ujian COVID-19 boleh dikemukakan kepada MDA melalui sistem pengurusan maklumbalas MDA, FEMES https://femes.mda.gov.my/ atau emel,mdb@mda.gov.my
Ketua Eksekutif
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
1 Jun 2021