Kenyataan Media

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP)

Serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran sarung tangan pemeriksaan tidak berdaftar

 

PBPP ingin memaklumkan bahawa pada 25 Februari 2021 satu operasi serbuan bersepadu telah dijalankan oleh PBPP bersama-sama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran sarung tangan pemeriksaan perubatan yang tidak berdaftar. Operasi serbuan ini dijalankan susulan daripada maklumat yang diterima dari MPKj berkenaan aktiviti memproses semula sarung tangan pemeriksaan perubatan secara haram di premis tersebut.

Serbuan pada jam 1.00 tengahari itu dijalankan bersama sepasukan 15 anggota daripada PBPP yang diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan daripada Unit Penguatkuasaan, PBPP bersama-sama sepasukan penguatkuasa daripada MPKj dan KPDNHEP. Dalam serbuan tersebut, PBPP telah merampas sebanyak 86,981 sarung tangan getah yang bernilai lebih RM24,000 untuk siasatan. Serbuan tersebut juga menemui sarung tangan yang mempunyai kesan kotoran dan sebahagiannya sedang dicuci di dalam mesin basuh menggunakan bahan peluntur dan sabun cucian serta pengilat tayar kereta. Sarung tangan tersebut disyaki diproses semula dan kemudiannya dibungkus di dalam kotak dan diedarkan termasuk dijual di dalam platform dalam talian.

PBPP sentiasa memantau pematuhan peranti perubatan terhadap keperluan yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan peranti perubatan yang berada di dalam pasaran tempatan dan ingin memaklumkan bahawa penjualan dan pengedaran peranti perubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar seksyen 5(1) Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), manakala establismen yang tidak berlesen yang menjalankan aktiviti penjualan dan pengedaran peranti perubatan melanggar seksyen 15(1) Akta yang sama. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 5(2) dan 15(2) Akta 737.

PBPP juga ingin memaklumkan bahawa peranti perubatan yang tidak berdaftar tidak melalui proses penilaian pematuhan dan dengan itu tahap keselamatan dan keberkesanannya tidak dapat dipastikan. Sehubungan itu, pengguna dan orang awam disarankan untuk sentiasa menyemak status pendaftaran peranti perubatan melalui Carian Peranti Perubatan Berdaftar di pautan Registered Medical Device Search dan Carian Establismen Berlesen di pautan Licensed Establishment Search. Maklumat lanjut berkenaan PBPP dan kawalan peranti perubatan boleh didapati di portal PBPP, portal.mda.gov.my. Sebarang aduan berkaitan peranti perubatan boleh dikemukakan kepada PBPP melalui Sistem Pengurusan Maklumbalas PBPP (FEMES) atau emel, [email protected] atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA).

 

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

26 Februari 2021