image_01111.jpeg

 

CYBERJAYA, 22 DISEMBER 2023 – Kit ujian kendiri COVID-19 direka untuk mengesan kehadiran virus atau komponennya dalam sampel air liur atau calitan hidung dan tekak pernafasan. Ujian ini biasanya bergantung pada penanda molekul atau antigen tertentu yang dikaitkan dengan virus SARS-CoV-2.

Menggunakan minuman berkarbonat sebagai sampel untuk pengujian COVID-19 bukanlah kaedah saintifik yang sah atau boleh dipercayai. Ini kerana, minuman berkarbonat mengandungi pelbagai sebatian dan bahan, tetapi ia tidak mengandungi komponen virus atau bahan genetik tertentu yang direka bentuk untuk dikesan oleh ujian ini.

Untuk makluman, belum ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa air berkarbonat boleh diuji positif COVID-19. Ini kerana cecair selain sampel yang disebutkan dalam arahan penggunaan kit ujian kendiri,  mempunyai sifat kimia yang boleh menyebabkan tindak balas kimia pada jalur ujian (test strip). Ini akan mengakibatkan keputusan yang tidak tepat, tidak sah serta mengelirukan.

MDA sekali lagi ingin menegaskan bahawa semua kit ujian kendiri hanya menggunakan sampel air liur atau calitan hidung dan tekak, bukanlah menggunakan sampel air mahu pun sebarang makanan dan cecair lain. Jika kit ujian kendiri digunakan dengan betul, ia mampu membantu kita mengesan COVID-19 dan mengekang penularan wabak ini.

Kaedah ujian yang disahkan dan mengikut panduan profesional penjagaan kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan awam adalah sangat penting apabila melibatkan ujian COVID-19. Sebarang penyebaran maklumat yang salah dengan menyalahgunakan peranti perubatan yang disengajakan semasa penularan COVID-19 adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan kesihatan awam.

Sekian, harap maklum.

 

DR. MURALITHARAN PARAMASUA

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

22 Disember 2023