LAWATAN RASMI SIRIM KE MDA KUKUHKAN USAHA PEMBANGUNAN SEKTOR PERANTI PERUBATAN
CYBERJAYA, 4 September 2025 - SIRIM (MDIC-AMREC) Kulim, Kedah telah mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Cyberjaya. Lawatan ini dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua, bersama delegasi SIRIM yang diketuai oleh Dr. Md Azman PKM Seeni serta disertai oleh barisan Pengarah SIRIM, penyelidik MDIC-AMREC dan pegawai-pegawai MDA.
Dalam sesi mesyuarat, Ketua Eksekutif MDA mengalu-alukan kehadiran delegasi SIRIM. Seterusnya, pihak SIRIM MDIC-AMREC membentangkan cadangan projek pelaksanaan di bawah Geran NIMP 2030 yang memberi tumpuan kepada sektor peranti perubatan. Perbincangan meliputi inisiatif kerjasama strategik termasuk pembangunan keupayaan (capacity building), pemberian geran padanan (matching grant) kepada industri, serta cadangan penyediaan fasiliti pengujian bagi menyokong pertumbuhan industri peranti perubatan. Inisiatif ini dijangka dapat membantu syarikat tempatan termasuk usahawan baharu dalam meneroka pasaran peranti perubatan.
Ketua Eksekutif MDA turut menekankan fokus strategik MDA terhadap pembangunan peranti perubatan masa hadapan. Antara bidang yang diberi perhatian ialah penerapan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), reka bentuk mesra alam (Greener MedTech Design), Precision Health Genomics, Device Interoperability serta pengukuhan kapasiti dalam sains regulatori.
Sesi lawatan ini telah berjaya mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara MDA dan SIRIM, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan peranti perubatan di Malaysia.
Dimuatnaik pada : 10 / 9 / 2025
Disediakan oleh : Bahagian Hubungan Antarabangsa & Industri (BHAI)
Dimuatnaik oleh : Bahagian Komunikasi Korporat