BENGKEL PENGURUSAN PERANTI PERUBATAN DI FASILITI KESIHATAN 28 -29 MEI 2025
Bengkel “Pengurusan Peranti Perubatan di Fasiliti Kesihatan” telah berjaya dianjurkan pada 28 hingga 29 Mei 2025, bertempat di Bilik Seminar, Aras G, MDA. Bengkel ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta input daripada pelbagai pihak berkepentingan mengenai pengurusan peranti perubatan termasuk pelaksanaan aktiviti pemasangan, pengujian, penyenggaraan, serta pelupusan peranti perubatan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 43 Akta 737.
Selain itu, bengkel ini juga turut memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai penyenggaraan peranti perubatan yang dikategorikan sebagai Orphaned, Obsolete dan Discontinued (OOD) di fasiliti kesihatan, yang kini menjadi antara cabaran utama dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri bengkel ini, yang terdiri daripada wakil-wakil Hospital Awam, Hospital Swasta, Hospital Tentera, Hospital Universiti, syarikat konsesi, Jurutera Operasi Hospital, serta syarikat peranti perubatan yang berkaitan. Kepelbagaian latar belakang kesemua peserta ini telah menyumbang kepada perbincangan secara menyeluruh.
Bengkel ini telah dimulakan dengan pembukaan serta penerangan objektif dan latar belakang oleh Ketua Cawangan Perancangan Strategik, Puan Nashirah Naiimi. Dalam penerangan tersebut, peserta telah didedahkan secara mendalam berkenaan Seksyen 43 Akta 737 yang melibatkan secara terus peranan pengguna dan penyelenggara peranti perubatan. Seterusnya, bengkel ini diteruskan dengan sedikit penerangan berkenaan cadangan draf pengurusan penggunaan peranti perubatan yang yatim, usang dan yang diberhentikan oleh Puan Anis Suhaila Abdul Rahman Fuad.
Bengkel ini telah dilaksanakan dalam bentuk perbincangan berkumpulan. Para peserta telah dibahagikan kepada lima (5) kumpulan dan setiap kumpulan telah dibantu oleh pegawai-pegawai di bawah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik. Pegawai-pegawai ini telah bertindak sebagai fasilitator, dan telah diberikan topik tertentu bagi perbincangan untuk dibentangkan. Pendekatan ini berjaya menggalakkan pertukaran idea. Di samping itu, menggalakkan penglibatan langsung peserta dalam merumuskan cadangan dan penambahbaikan yang praktikal mengikut kesesuaian industri.
Sepanjang dua hari penganjuran bengkel ini, pelbagai isu telah dapat diketengahkan dan dibincangkan. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk keperluan penyelarasan tatacara kerja, cabaran pengurusan peranti OOD, keperluan pematuhan kepada peruntukan undang-undang, serta cadangan kepada penambahbaikan dasar sedia ada.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai matlamat yang disasarkan dan berjaya mengumpulkan input daripada pelbagai pihak. Pihak MDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penglibatan sepanjang bengkel ini.
Disediakan oleh : Unit Usage & Kemudahan Penjagaan Kesihatan
Dimuatnaik oleh : Bahagian Komunikasi Korporat
Dikemaskini pada : 10 Jun 2025